Friday, March 1, 2013

Kisah Penghuni Syurga

Assalamualaikum
Al kisah....
Anas bin Malik, salah seorang sahabat Rasulullah SAW ketika bersama-sama baginda, pernah menceritakan, Rasulullah pernah berkata, " Seorang lelaki penghuni syurga akan datang kepada kita sebentar lagi."
Memang benarlah seperti apa yang dikatakan oleh Rasulullah itu. Tidak lama kemudian, datang seorang lelaki daripada kaum Ansar yang masih dalam keadaan berwuduk dengan janggutnya yang masih basah menghampiri Rasulullah dan para sahabat. Di tangan kirinya memegang terompah. 
Pada keesokan harinya pula, Rasulullah berkata kepada para sahabatnya, " Akan datang lagi seorang lelaki penghuni syurga ke mari."
Benarlah kata-kata Rasulullah itu. Tidak lama selepas itu datang seorang lelaki sebagaimana yang datang pada pada hari semalam. Keesokan harinya, hari ketiga, Rasulullah juga berkata sebagaiman yang dikatakan pada hari pertama dan kedua. Apabila lelaki itu beredar, Abdullah bin Amir bin Ash, seorang sahabat Rasulullah mengekori lelaki itu pulang ke rumahnya. Bagaimanapun perbuatan Abdullah itu telah menyebabkan dia bertengkar dengan ayahnya. 
"Aku tidak akan bertemu denganmu ayah selama tiga hari dan kalau ayah bersetuju, aku mahu tinggal bersama-sama lelaki itu untuk seketika," beritahu Abdullah dan permintaan Abdullah itu dipersetujui oleh ayahnya.
Akhirnya, Abdullah mengikuti lelaki Ansar dan tinggal tiga hari bersamanya. Ketika bersama lelaki itu, Abdullah tidak pernah melihat lelaki itu bangun tengah malam untuk melakukan solat tahajud. Lelaki itu hanya menggeliat di temapt tidurnya sambil berzikir dan bertakbir sehinggalah lelaki itu bangun untuk menunaikan solat subuh. Selain itu, Abdullah tidak pernah mendengar lelaki itu berkata-kata kecuali perkataan yang baik-bauk sahaja. 
Setelah tiga hari berakhir dan ketika hati kecilnya berkata-kata, beginikah orang yang dikatakan ahli syurga, Abdullah tergerak untuk bertanya kepada lelaki itu, " Wahai hamba Allah, sesungguhnya tidak pernah terjadi pertengkaran dan tidak bertegur sapa antara aku dengan ayahku. Aku hanya mendengar Rasulullah bercerita mengenaimu tiga kali tentang kedatangan seorang ahli syurga. Justeru aku sendiri ingin melihat apakah amalanmu sehingga kamu dikatakan ahli syurga? 
Kalau boleh aku sendiri mahu mengikut jejak amalanmu tetapi apa yang aku lihat kamu tidak banyak mana beramal, bagaimana Rasulullah boleh mengatakan yang kamu penghuni syurga?" Soalnya.
" Aku sebenarnya tidak mempunyai apa-apa amalan. Apa yang kau lihat, itulah yang aku lakukan sehari-hari. Cuma aku tidak pernah berlaku curang dengan sesiapa. Aku juga tidak pernah ada sifat iri hati terhadap apa yang Allah kurniakan kepada orang lain," ujar lelaki itu lagi. " Jadi, inilah amalanmu selama ini yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain kerana terlalu berat tetapi mendapat darjat yang tinggi," ujar Abdullah lagi. " Ya, memang ini satu kerja yang berat dan adakah kamu sanggup mengikuti apa yang aku lakukan?"
Abdullah tidak menjawab tetapi dia sudah faham mengapa Rasullullah mengatakan lelaki ini penghuni syurga. 

*Moral : Daripada kisah di atas dapat disimpulkan bahawa sesungguhnya Allah SWT amat menyukai dan menyayangi makhluk-Nya yang berbuat kebaikan, bersih hati dari sifat dengki dan mencintai diri-Nya. Allah tidak memandang kepada luaran, sebaliknya dalaman diri itu lebih penting.

No comments:

Post a Comment