Monday, August 17, 2009

Tips UPSR: Kepentingan Matlamat

Assalamualaikum,

Kaifa haalukum? Apa khabar semua warga Gangga? Harapan saya agar kita semua sihat-sihat sahaja hendaknya. Walaupun kita semua ketika ini sedang diancam virus yang membunuh iaitu h1n1 (bukan b1n1), marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah S.W.T agar kita semua mendapat perlindungan daripadanya.

Sepertimana yang kita sedia maklum, kira-kira 3 minggu dari sekarang murid-murid tahun 6 akan menduduki peperiksaan UPSR. Oleh yang demikian, hari ini saya akan berkongsi tips kepada adik-adik semua menjelang peperiksaan yang bakal tiba.

Kepentingan Meletakkan Matlamat


Sambil saya lalu dihadapan bilik komputer/CC, saya suka membaca dan memerhatikan target yang diletakkan oleh murid-murid tahun 6 dalam UPSR nanti. Ada yang meletakkan target 4A 1B, 3A 2B, 2A 3C dan sebagainya. Namun secara peribadi saya katakan semua ini TIDAK TEPAT.

"Eh kenapa pula Ustaz...?"

Target sebenar yang perlu diletakkan oleh setiap murid ialah 5A! Tiada B, C, mahupun D! Ini kerana maksud sebenar target ialah KEINGINAN anda. Ya, ia berkenaan dengan APA YANG ANDA MAHUKAN. Bukan yang anda rasa berapa anda boleh atau mampu dapat.

Hal ini penting kerana meletakkan sasaran yang tinggi akan mendorong anda berusaha dengan gigih untuk mencapai target tersebut. Misalnya, anda tahu anda lemah dalam subjek Matematik. Oleh itu anda letakkan target, dengan apa cara sekalipun anda mesti dapat A dalam subjek Matematik. Anda pun berusaha siang dan malam. Pantang ada masa yang terluang, anda akan gunakan sepenuhnya untuk membuat latihan demi latihan.

Anda mengurung diri anda dalam bilik sambil membuat latihan. Ajakan rakan untuk bermain juga anda ketepikan. Anda bertanyakan guru tentang soalan-soalan yang anda tidak faham. Tiada TV, tiada Playstation, tiada girlfriend atau boyfriend ketika ini. Pendek kata, anda betul-betul fokus dan dengan sisa-sisa hari dan masa yang ada, anda gunakan sebaiknya berusaha untuk mencapai target anda itu.

Cuba teka apakah yang akan terjadi pada tatkala anda mendapat keputusan UPSR nanti? Saya pasti anda akan dapat memperoleh target anda iaitu A dalam subjek Matematik.

Apa terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai target anda walaupun telah berusaha gigih?

Jawapannya, anda masih dapat B! Soalan saya lagi, apa terjadi sekiranya anda meletakkan target anda dalam subjek Matematik ialah C? Jawapannya, jika nasib anda baik, anda akan dapat C. Jika tidak, D atau E lah jawabnya. Bukankah tidak seronok begitu?

Jadi, nasihat saya,
1. Letakkan matlamat, sasaran atau target yang TINGGI.
2. Berusaha KERAS untuk mencapainya.

Kejayaan pasti milik anda.

Sekian, bertemu lagi dengan tips yang lain.

P/S: Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Bercuti dan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada semua warga Gangga yang beragama Islam. Saya akan ke maktab (IPGM Kampus Ipoh) pada cuti ini untuk menyambung pengajian. Semoga berjumpa lagi selepas cuti nanti. See you and ilal liqa' :)

No comments:

Post a Comment